Zizie nafi merana akibat putus cinta

>> Thursday, May 7, 2009

KEGAGALAN hubungan cintanya yang terjalin hampir tujuh tahun dengan seorang ahli perniagaan memang benar-benar menguji ketabahan hati gadis bernama Zizie Ezette ini.

Hubungan yang sepatutnya diharapkan berakhir dengan ikatan perkahwinan nampaknya berkubur begitu saja, setelah pelakon jelita ini dan bekas kekasihnya itu gagal mempertahankan kubu cinta mereka atas faktor-faktor tertentu.


Perasaan kecewa sememangnya terpalit di dalam diri Zizie apatah lagi bukan setahun dua dia baru mengenali jejaka berusia lingkungan 40an itu, namun tutur gadis kelahiran Batu Pahat, Johor ini, dia akur dengan ketentuan ini.

"Apa yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya. Saya cukup bahagia kini menjalani hidup bersama keluarga dan kawan-kawan. Memanglah saya akui, adakalanya sunyi juga tanpa seorang teman istimewa di sisi.

"Tapi, saya sudah tidak mahu 'mencari' lagi buat masa ini. Saya percaya pada jodoh, biarlah dia datang sendiri. Walaupun usia saya sudah mencecah 30 tahun, saya tidak mahu terburu-buru untuk berkahwin.

"Dulu sewaktu masih bercinta, memang saya sering fikir tentang perkahwinan, tapi rasanya kini saya tidak mahu terlalu fikirkan sangat tentang hal itu," kata Zizie yang ditemui pada majlis prebiu dua buah drama yang bakal ditayangkan di Astro Ria dan Oasis, Gadis Cuci dan Dua Marhalah, baru-baru ini.

Aktres yang pertama kali muncul di layar perak menerusi filem Kekasih Awal dan Akhir pada tahun 1993 ini bagaimanapun menafikan khabar angin yang mengatakan dia sebenarnya 'merana' akibat putus cinta itu.

"Saya nampak macam merana ke? Mana ada. Saya ok. Mungkin kerana saya dan dia (bekas teman lelaki) masih lagi berkawan baik, jadi sebab itu saya tidak terlalu kecewa sangat," ujar Zizie dalam nada ceria.

Katanya lagi, buat masa ini, dia lebih banyak menumpukan perhatian terhadap karier seni saja yang sekaligus dapat 'melupakan' tentang kisah pahit itu. Malah, kesibukan berlakon juga membuatkan Zizie belum bersedia untuk mula mencari 'pengganti'.

Ditanya sama ada golongan VIP ada menghampirinya tatkala diri kembali solo, sambil tersenyum, Zizie menjawab:

"Ada beberapa rakan yang ingin kenalkan saya kepada golongan seperti ini. Tapi saya terpaksa elak sebab saya tidak mahu orang bercakap bukan-bukan. Memang kita bertujuan baik sekadar untuk berkawan dan bagus untuk 'networking'.

"Tapi saya tidak mahu orang salah anggap. Jadi lebih baik saya berkawan dengan orang 'biasa-biasa' saja," kata Zizie.

Bercerita tentang perkembangan karier lakonannya, kata Zizie, ketika ini dia sedang berehat seketika sebaik tamat menjalani penggambaran drama bersiri Dua Marhalah yang bakal disiarkan di Astro Oasis bermula 25 Mei depan.

"Dah lama saya terfikir nak 'break' sekejap. Selepas tamat penggambaran Spa Q tahun lalu, saya teruskan pula dengan Dua Marhalah. Memang tidak ada 'break' langsung.

"Sebab itu, saya ambil keputusan berehat sejak dua bulan lalu dan pertengahan Mei ini barulah saya akan kembali memulakan penggambaran drama terbaru," tuturnya.

Mengulas lanjut tentang drama terbarunya Dua Marhalah yang akan ditayangkan tidak lama lagi, kata Zizie, karektornya di dalam drama bersiri itu merupakan watak yang amat dinanti-nantikan olehnya.

"Memang sudah lama saya idamkan watak seperti ini. Di dalam drama ini, saya pegang watak sebagai Kamsiah yang pada awalnya menjalani hidup normal, tetapi disebabkan satu insiden, dia telah dijual di rumah pelacuran.

"Bukan setakat menjadi pelacur, malah Kamsiah juga melakukan banyak dosa lain termasuklah mencuri harta anak yatim.

"Bayangkan lebih sebulan saya seolah-olah tidak ada 'life' kerana ingin beri komitmen yang tinggi untuk hayati watak ini. Penat juga sebenarnya sebab dari satu babak ke satu babak, jalan ceritanya amat mencabar.

"Tetapi untuk bawakan watak ini tidaklah begitu menyukarkan, asalkan kita faham dan mendalami skrip dengan baik," katanya yang berharap satu hari nanti dia berpeluang membawakan watak perempuan psiko.

Selain Zizie, turut membintangi drama itu antara lain ialah Fauzi Nawawi, Lisdawati, Datuk Mustapha Maarof, Datin Rosnani Jamil, Safura dan Maizurah Hamzah.

Sumber:MStar Online

0 comments:

  © Free Blogger Templates Selamat Hari Raya Aidilfitri by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP