Sidi tersingkir AF7 minggu kelima

>> Sunday, April 12, 2009


KUALA LUMPUR: Perjalanan Mohd Rashidi Mohamad Isa atau Sidi dalam program realiti popular, Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) hanya mampu bertahan sehingga minggu kelima apabila tersingkir, malam tadi.

Biarpun berduet bersama Zahid dan cuba memberikan persembahan yang terbaik menerusi lagu Cinta Yang Sempurna yang pernah dipopularkan 6ixth Sense dan Tirta Feat Noe Letto, peserta dari Perak itu gagal menambat hati penonton untuk menyelamatkan kedudukannya dalam AF7. Dia terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada lapan rakan yang masih bertahan apabila menerima undian terendah khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menentukan sepenuhnya kedudukan peserta pertandingan yang mencari penghibur terbaik itu.

Pengumuman penyingkiran dibuat oleh rakannya, Ismaliza Ismail atau Isma pada konsert mingguan AF7 yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, di sini.
Sidi, 27, menjadi peserta keenam tersingkir mengikut jejak Adila, Rini, Obri, Zizi dan Rubisa yang terpaksa meninggalkan AF7 dalam minggu-minggu terdahulu. Persembahan peserta dinilai oleh pengkritik tetap, Datuk Khadijah Ibrahim, Adibah Noor dan Edrie Hashim.

Peserta yang kekal meneruskan perjuangan ialah Aishah Bujang, 18, (Sarawak), Afiq Hakim Ahmad, 18, (Johor Bahru), Khairil Azam Pilus, 24, (Kuala Lumpur), Claudia Fay Geres, 24, (Sarawak) dan Mohd Hafiz Mohd Suip, 19, (Sarawak).

Turut meneruskan perjuangan ialah Ismaliza Ismail, 30, (Kuala Lumpur), Mohd Qhaud Abdul Rashid, 25, (Selangor) dan Mohd Yazid Kamal Ibrahim, 22, (Johor Bahru).

0 comments:

  © Free Blogger Templates Selamat Hari Raya Aidilfitri by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP