Saksi: Pelakon Eja berhak dapat ganti rugi RM240, 000

>> Monday, May 4, 2009

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu pelakon Eja berhak mendapat ganti rugi sebanyak RM240,000 selepas Syarikat Gulatis Exclusive Sdn Bhd (Gulatis) mengingkari perjanjian lisan apabila menggunakan gambar pelakon itu pada papan iklan, poster dan banner.

Mohd Silahuddin Jamaluddin Silahuddin, 45, yang merupakan pengurus pelakon itu berkata Eja berhak menuntut bayaran itu kerana pihak Gulatis masih menggunakan gambar Eja sehingga 2006 bagi tujuan promosi sebuah pertandingan yang dianjurkan syarikat itu walaupun tempoh kontrak tamat pada 30 Sept 2005.

"Pada 30 September 2005 pihak kami menganggarkan bayaran adalah RM20,000 tetapi jumlah itu dinaikkan kepada RM240,000 pada Februari 2006 kerana disebabkan gambar Eja masih digunakan Gulatis di cawangannya di sekitar Lembah Klang.
Foto Ehsan MyStar Online


"Ekoran kejadian itu, pihak kami terpaksa menilai semula ganti rugi yang harus dibayar Gulatis memandangkan gambar Eja digunakan dan jumlah itu wajar berdasarkan pengiraan kehilangan pendapatan dari kontrak lain," katanya.

Beliau berkata demikian semasa memberikan keterangan pada perbicaraan kes Eja atau nama sebenarnya Siti Sharizah Saifuddin, 36, yang menyaman Gulatis bagi menuntut ganti rugi RM240,000 atas dakwaan syarikat itu mengingkari perjanjian lisan apabila menggunakan gambarnya pada papan iklan, poster dan banner walaupun tempoh kontrak telah tamat.

Ketika menjawab soalan peguam yang mewakili Eja, R. Thayakugan, Mohd Silahuddin berkata menerusi perjanjian lisan yang dibuat, gambar Eja hanya untuk borang peraduan tetapi penggunaannya diteruskan tanpa mengikut syarat perjanjian asal dan ia diketahui selepas adiknya menelefon memberitahu gambar Eja terpampang di sekitar ibu kota.

Berikutan tindakan Gulatis itu, katanya, Eja tidak menerima sebarang kontrak pengiklanan yang dianggarkan berjumlah RM240,000 dalam masa dua tahun.

Katanya, pihaknya kemudian menghubungi Pegawai Perhubungan Awam Gulatis, Jasleen Kaur dan diberitahu bahawa Gulatis mengambil keputusan menggunakan gambar Eja tanpa kebenaran sebagai usaha menggalakkan lagi sambutan bagi peraduan "Guess Who and Win" anjuran syarikat itu.

Kepada soalan peguam Rejinder Singh yang mewakili syarikat itu, Mohd Silahuddin menjelaskan pihaknya merasakan sudah terlewat dan tidak ada guna lagi untuk membuat permohonan injunksi bagi membolehkan Gulatis menanggalkan gambar atau poster Eja.

Mohd Silahuddin yang mempunyai pendidikan dalam bidang perniagaan memberitahu skop tugasnya termasuk melihat dan menilai sama ada bayaran yang diterima iaitu RM1,500 dan kain dari syarikat itu adalah berbaloi serta memastikan gambar Eja digunakan dengan betul.

"Kami menerima kontrak itu berdasarkan perjanjian seperti yang dinyatakan dan hubungan baik dengan pereka fesyen ketika itu, dan Gulatis sendiri tetapi saya tidak menyangka perkara lain yang sebaliknya berlaku," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Madihah Harullah disambung 23 Jun. BERNAMA

0 comments:

  © Free Blogger Templates Selamat Hari Raya Aidilfitri by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP