Hafiz mahu bawa ibu bapa tunai umrah atau haji

>> Monday, May 18, 2009

SEBELUM hos AC Mizal mengumumkan namanya sebagai juara Akademi Fantasia (AF) musim ke-7, Hafiz atau nama sebenarnya Mohd. Hafiz Mohd. Suip, 19, kelihatan resah gelisah di atas pentas.

Waktu itu, tinggal namanya dan Aril atau Khairil Azam Pilus yang belum diumumkan oleh AC Mizal.

Riak wajahnya itu tampak jelas bimbang sekiranya tidak mendapat gelaran juara sehingga hendak menangis pun ada sebaliknya Aril kelihatan tenang dan masih sempat tersenyum.

Selepas diumumkan sebagai pemenang, terus air mata tanda gembira mengalir lantas dia dipeluk oleh rakan-rakan seperjuangan dan kedua ibu bapanya.


Semasa memberikan ucapan, suaranya yang sebak tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepada peminat dan pengundi yang banyak menghabiskan wang ringgit untuknya.

Jelas Hafiz, dia memang idamkan gelaran juara sejak berusia 7 tahun lagi namun sebetulnya dia tidak yakin samada akan mendapat takhta itu atau tidak.


Sejujurnya, anak sulung lelaki tunggal daripada tiga beradik ini mengakui sifat manjanya banyak mempengaruhi kehidupannya sebelum ini sehingga dia mudah sensitif dan tersentuh dengan perkara-perkara tertentu termasuk debaran saat bergelar juara.

“Saya mengaku yang saya merupakan seorang anak yang manja. Saya cepat menangis kerana mudah tersentuh tetapi hati saya kental.

“Namun, saya bukanlah seorang yang cepat mengaku kalah tetapi sentiasa berusaha untuk berjaya dalam apa yang dilakukan.

“Saya agak tercabar semasa menyanyikan lagu rap Kau Yang Punya,” beritahunya.

Sifat tidak putus asa Hafiz juga terserlah apabila dia menyertai ujibakat AF sebanyak dua tahun berturut-turut.
“Saya pernah menghadiri ujibakat AF6 tetapi hanya berjaya sampai ‘stage’ 4. Waktu itu, saya fikir mungkin belum rezeki saya,” ujarnya yang berasal dari Kuching, Sarawak ini.

Hafiz akui, jika hendak bergelar seorang ikon, dia perlukan kekuatan vokal dan konsep persembahan.

“Memang betul, saya lihat vokal dan konsep persembahan penting dalam sesebuah persembahan dan hendak menjadi seorang ikon juga memerlukan semua itu.

“Alhamdulillah, semua peserta mempunyai kekuatan dalam persembahan. Jadi, saya perlu ada cara tersendiri.

“Mungkin sudah rezeki saya untuk memenangi pertandingan ini kerana seperti yang diketahui ia merupakan program realiti,” luah Hafiz yang masih terkejut dengan kemenangannya itu.

Dengan kemenangan itu, Hafiz berjaya membawa pulang hadiah kereta Honda Accord 2.0 litre sumbangan Honda Malaysia, percutian ke New York berjumlah RM10,000 tajaan Maybelline, Arezzo Hoffman 5.1 Home Theatre System tajaan Arezzo, kamera U1030 tajaan Olympus, Hyundai Air Purifier- HYAP-202 tajaan MSP Advance, jam tangan Hugo Boss tajaan Hugo Boss, BRANDS’S Innershine untuk 1 tahun tajaan Cerebos, Nokia 5730 XpressMusic tajaan Nokia, diaktifkan oleh Hotlink selama 1 tahun tajaan Hotlink, wang tunai RM20,000 dan trofi sumbangan Astro.

Menurut Hafiz, dia mahu berkongsi hadiah kemenangannya bersama kedua ibu-bapanya.

“Dari dulu lagi, saya nak bawa mak dan bapa pergi menunaikan umrah atau Haji,” kata Hafiz.

Penyanyi lagu ‘Masih Jelas’ ciptaan Aidit Alfian dan lirik oleh Ad Samad ini turut berjanji untuk berjumpa dengan peminatnya sebagai tanda membalas jasa mereka yang banyak mengundinya sebelum ini.


0 comments:

  © Free Blogger Templates Selamat Hari Raya Aidilfitri by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP